AMERIKA TIDAK LAGI RELEVAN SEBAGAI PENGANTARA DALAM ISU PALESTIN DAN YAHUDI ZIONIS


Presiden Palestin, Mahmoud Abbas secara rasmi mengisytihar tidak lagi menerima Amerika Syarikat sebagai pengantara bagi rundingan damai Palestin-Israel.

Tegas Mahmoud, AS tidak lagi relevan memainkan peranan sebagai pengantara susulan tindakan negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis selaku ibu negara Israel.

"Hanya orang tidak siuman sahaja akan menerima Amerika Syarikat sebagai pengantara rundingan damai selepas pengumuman Trump, dua minggu lalu," tegas Mahmoud selepas mesyuarat dengan pegawai kanan Palestin di Tebing Barat.

Pengumuman ini juga dibuat selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membatalkan status Baitulmaqdis selaku ibu negara Israel.

Rundingan damai Palestin-Israel yang ditaja Amerika Syarikat tertangguh sejak sekian lama susulan isu tertunggak.

Ini termasuk isu tuntutan kedua-dua pihak ke atas kota Baitulmaqdis, selain tindakan Israel yang enggan menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah milik Palestin.


Dalam pada itu Amerika Syarikat (AS) telah menggunakan kuasa veto menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dibentangkan dalam satu sesi pada Isnin.

Draf resolusi berkenaan yang dibentangkan Mesir bertujuan membatalkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Donald Trump.

Sesi pengundian menyaksikan 14 ahli Majlis Keselamatan menyokong draf resolusi berkenaan, namun ia diveto Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley.

Draf resolusi itu menekankan status akhir Baitulmaqdis sewajarnya diselesaikan menerusi rundingan sejajar dengan keperluan resolusi PBB.

Ia turut menuntut semua negara mematuhi 10 resolusi yang diluluskan berhubung Baitulmaqdis sebelum ini, termasuk dari 1967.

Antara lain, persetujuan status kota itu ditentukan menerusi rundingan antara Palestin dan Israel.

Dalam reaksi segera, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan tindakan Washington, yang disifatkannya mengangkat kebenaran.

Di Ramallah, Menteri Luar Palestin Riad al-Maliki mengecam sekeras-kerasnya tindakan AS menggunakan kuasa veto.
Newest
Previous
Next Post »